Monday, April 13, 2015

SOLE

Permainan ini dikenali juga dengan nama Permainan Awal dan di sesetengah tempat menamakannya Main Bola Wa.Terdapat sejenis lagi permainan yang mempunyai nama yang sama dengan Permainan Sole, tetapi alat utama yang digunakan untuk permainan ini ialah pisau lipat.Peralatan ini berbahaya kepada pemain yang tidak mempunyai kemahiran.Berbeza dengan permainan tersebut. Permainan Sole menggunakan sebiji bola dan seketul bata. Permainan ini memerlukan masa yang lama untuk menamatkannya kerana pemain terpaksa melalui tujuh langkah. Oleh sebab itu, permainan ini amat sesuai dimainkan pada waktu petang.

TEMPAT

Sebuah kawasan yang luas seperti halaman rumah atau padang permainan.

PERALATAN

Bola getah dan seketul bata. Tin atau sabut kelapa boleh digunakan sebagai pengganti bata.

PEMAIN

Permainan ini sesuai untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan.Bilangan pemain yang diperlukan antara 10-20 orang.Pemain perlu dibahagikan kepada 2 kumpulan.Kedua-dua kumpulan mempunyai bilangan pemain yang sama.

LANGKAH-LANGKAH UTAMA
  1. Pemain dibahagikan kepada 2 kumpulan yang sama ramai. Setiap kumpulan mempunyai ketua.
  2. Ketua kumpulan mengundi untuk menentukan pasukan yang memulakan permainan.
  3. Setiap kumpulan perlu berada di garisan yang disediakan.
  4. Di tengah-tengah garisan A diletakkan sabut atau tin atau seketul bata. Kumpulan yang memulakan permainan akan bersedia di belakang garisan itu.
  5. Kumpulan lain yang menunggu perlu berada di garisan B, mereka sebaiknya menghadap ke arah kumpulan yang berada di garisan A. Tujuannya untuk menyambut bola yang datang. Mereka akan menangkap dan melerekkan bola itu ke arah bata, tin atau sabut yang terletak di garisan A.
  6. Permainan ini menetapkan beberapa langkah.
LANGKAH SATU
  1. Pemain pertama yang memulakan permainan hendaklah berdiri di garisan A. Dia perlu membelakangkan pihak lawan.
  2. Dengan menggunakan kedua belah tangan, pemain tersebut hendaklah melambung dan memukul bola ke arah pihak lawan.
  3. Bola yang dipukul perlu melalui atas kepala.
  4. Perbuatan yang sama perlu dilakukan sebanyak 3 kali tanpa terbatal. Setiap perbuatan dinamakan "awal satu" "satu dua" dan "awal tiga".
LANGKAH DUA
  1. Pemain yang sama (sekiranya giliran beliau tidak mati) dikehendaki berada di garisan A. Pada kali ini dia perlu menghadap ke arah lawan.
  2. Dengan menggunakan sebelah tangan ( kiri atau kanan), pemain hendaklah melambung dan memukul bola tersebut dengan tangan yang sama ke arah lawan.
  3. Perbuatan yang sama dilakukan sebanyak 3 kali tanpa batal. Setiap perbuatan dinamakan "sebelah satu","sebelah dua" dan "sebelah tiga".
LANGKAH TIGA
  1. Pemain yang sama (sekiranya giliran beliau tidak mati) dikehendaki berada di garisan A serta meghadap ke arah lawan.
  2. Pemain perlu melambung dan memukul bola ke arah lawan dengan kedua-dua belah tangan. Jika dia melambung bola dengan tangan kanan, dia mesti memukul bola itu dengan tangan kiri dan begitulah sebaliknya.
  3. Langkah ini dipanggil "dua belah satu", " dua belah dua" dan "dua belah tiga".
LANGKAH EMPAT
  1. Pemain yang sama (sekiranya giliran beliau tidak mati) dikehendaki berada di garisan A serta meghadap ke arah lawan.
  2. Pemain perlu melambung bola, seterusnya menepuk dada dengan tangan yang sama dan memukul bola ke arah lawan sebelum bola itu jatuh ke tanah.
  3. Langkah ini dinamakan "dada satu","dada dua" dan "dada tiga".
LANGKAH LIMA
  1. Pemain yang sama (sekiranya giliran beliau tidak mati) dikehendaki berada di garisan A serta meghadap ke arah lawan.
  2. Sebelah tangan pemain perlu memegang pada siku tangan yang digunakan untuk melambung dan memukul bola dari belakang.
  3. Bola dilambung dan dipukul ke arah lawan. Langkah ini dipanggil "siku satu","siku dua" dan "siku tiga".
LANGKAH ENAM
  1. Pemain yang sama (sekiranya giliran beliau tidak mati) dikehendaki berada di garisan A serta meghadap ke arah lawan.
  2. Pemain perlu melambung bola melalui celah kangkang dari arah belakang dan memukul bola tersebut dengan tangan yang sama ke arah lawan.
  3. Langkah ini dinamakan "kangkang satu", "kangkang dua" dan "kangkang tiga".
LANGKAH TUJUH
  1. Pemain yang sama (sekiranya giliran beliau tidak mati) dikehendaki berada di garisan A serta meghadap ke arah lawan.
  2. Pemain perlu melambung dan menyepak bola dengan kakinya ke arah pihak lawan.
  3. Langkah ini dinamalan "sepak satu","sepak dua" dan "sepak tiga".
PERATURAN
  1. Setiap langkah dilakukan sebanyak 3 kali.
  2. Setiap bola yang dipukul atau disepak oleh pemain perlu melepasi garisan B. Jika tidak, giliran dan pemain tersebut dikira mati.
  3. Sekiranya bola yang dipukul atau disepak oleh pemain dapat disambut oleh pihak lawan, giliran pemain tersebut juga dikira mati.
  4. Jika bola tidak dapt disambut atau melepasi garisan B, pihak lawan masih boleh mematikan pemain dengan cara melambung atau melerek bola ke arah sasaran iaitu bata,tin atau sabut yang diletak pada garisan A. Sekiranya bola mengenai sasaran giliran pemain tersebut dikira mati.
  5. Untuk langkah enam pemain dibenarkan mengangkat sebelah kaki untuk memudahkannya melambung bola melalui celah kangkang.
  6. Pemain yang mengambil giliran selepas rakannya mati, perlu menyambung permainan dari langkah di mana rakannya mati.
  7. Pertukaran antara kumpulan perlu dilakukan sekiranya dalam kumpulan semua pemain mati giliran. Sekiranya kumpulan tersebut mendapat giliran semula, mereka hendaklah menyambung permainan di mana mereka terhenti.
  8. Keadaan atau perbuatan yang sama perlu dilakukan oleh kedua-dua kumpulan dengan megikuti dan mematuhi cara dan peraturan permainan.